Masih belum selesai kes reman membabitkan selebriti sebuah program realiti agama, muncul pula kes baharu apabila seorang wanita membuat laporan polis mendakwa turut menjadi mangsa individu berkenaan.

Kali ini modus operandi suspek ialah mengajak mangsa pulang ke rumah untuk mengajar ilmu dalam bidang pemasaran namun sebaliknya berlaku apabila wanita berusia 22 tahun itu dicabul dan dipaksa melakukan seks oral.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa yang merupakan seorang pelajar di sebuah kolej tempatan tampil mendakwa dirinya dicabul oleh individu itu, seorang selebriti tempatan berusia 25 tahun.

Menurut Nik Ezanee, mangsa dalam laporannya mendakwa kejadian berlaku pada 17 Oktober lalu sekitar pukul 1 pagi.

“Mangsa telah dipelawa oleh suspek ke rumahnya di kawasan Damansara Perdana untuk mengajar ilmu pemasaran perniagaan.

“Mangsa telah dipelawa oleh suspek ke rumahnya di kawasan Damansara Perdana untuk mengajar ilmu pemasaran perniagaan.

“Semasa kejadian di rumah suspek, mangsa dicabul dan turut dipaksa untuk melakukan seks oral.

“Mangsa mengalami trauma dan kini mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut Nik Ezanee, suspek masih ditahan oleh pihak polis berkenaan satu lagi kes yang berlainan di bawah seksyen 376 kanun keseksaan (rogol) bersabit laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Pada 26 November lalu, seorang pendakwah muda dikenali sebagai Da’i Syed atau nama sebenar Syed Shah Iqmal Mohammad Shaiful Syed Jamalluail ditahan selepas polis menerima laporan dakwaan rogol terhadapnya.

Susulan itu, pihak polis berajaya mendapatkan perintah reman daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd Zamir Suhaimee selama lima hari bermula 27 November lalu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.

Wanita berkenaan mendakwa dirogol di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada September 2019.

Polis terima 6 laporan salah laku seks

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihak polis akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menyambung reman terhadap pendakwah muda berkenaan selepas pihaknya menerima beberapa laporan terbaharu mengenai salah laku seksualnya.

Suspek yang sepatutnya tamat tahanan reman bagi kes pertamanya pada Selasa akan terus disiasat selepas polis menerima sehingga enam laporan masing-masing membabitkan lima laporan di daerah Shah Alam sementara satu di Petaling Jaya.

Katanya, siasatan bakal dijalankan di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol, seksyen 354 kerana mencabul, seksyen 377C iaitu melakukan seks luar dan seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mungkin menjadi mangsa pendakwah selebriti itu agar tampil membuat laporan polis.