Kejayaan demi kejayaan yang dilakar oleh dua atlet negara, Azizulhasni Awang dan Cheong Jun Hoong sepanjang tahun 2017 telahpun melayakkan kedua-duanya dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati kebangsaan dalam Anugerah Sukan Negara 2017.

Anugerah Sukan Negara yang dilangsungkan semalam adalah sebagai penghargaan kepada para atlet negara yang telah berusaha keras dalam memperoleh kejayaan untuk negara sepanjang tahun 2017.

Atlet pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ telah mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas dalam acara Keirin pada UCI Track Cycling World Championship 2017 di Hong Kong. Menurut atlet yang pernah menyarungkan jersi pelangi, anugerah ini merupakan pembakar semangat beliau untuk terus berusaha dalam Sukan Komanwel 2018 dan Sukan Asia 2018.

 

Penerjun wanita negara, Cheong Jun Hoong yang telah dinobatkan sebagai olahragawati kebangsaan apabila beliau berjaya memenangi pingat emas dalam acara 10 meter platform individu di Kejohanan Akuatik Dunia yang bertempat di Budapest, Hungary tahun lepas.

Turut menerima anugerah ialah atlet paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara olahraga. Tahniah buat para atlet negara.