Kegembiraan seorang tukang masak kantin meluangkan masa bersama tunangnya di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang di Kuala Terengganu bertukar tragedi apabila dia lemas, lapor HMetro.

Mangsa, Wan Mohammad Rafiq Abdul Karim, 29, dikatakan mengunjungi lokasi terbabit bersama tunangnya berusia 31 tahun untuk bermandi-manda.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dari pandangan sebelum tunangnya menjerit meminta bantuan orang awam yang berada berhampiran.

Katanya, seorang penduduk kampung berhampiran yang mengetahui kejadian itu kemudian bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan.

“Mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di kantin Sekolah Menengah Agama (SMA) Ladang, Kuala Terengganu itu kemudiannya ditemui pada kedalaman lima meter sebelum dibawa ke daratan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang bergegas ke lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Adli berkata, jenazah akan diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan selepas bedah siasat selesai dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Seramai lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Berang bersama satu jentera turut dikerahkan ke lokasi untuk mencari mangsa.