Semalam satu kes melibatkan seorang kanak-kanak maut apabila tertinggal di dalam kereta bapanya di tempat kerja selama 10 jam.

Kebanyakan netizen berkongsi kesedihan di atas pemergian tersebut namun masih ada juga yang mengecam kealpaan bapa mangsa.

Rentetan daripada itu, seorang ahli keluarga Allahyarham Aina Batrisha Aisyah Shaiful Azrul telah bersuara agar tiada lagi kecaman ke atas bapa mangsa.

“Arwah adalah anak yang paling rapat dan manja dengan bapanya, dalam kejadian itu, bapanya betul-betul terlupa yang arwah sedang tidur di tempat duduk belakang.”

Enggan dikenali, dia berkata  bapa arwah dilihat begitu sedih dengan kejadian yang menimpa anak keempatnya daripada lima beradik itu.

Difahamkan dalam kejadian itu, arwah sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit Sungai Pasir, selepas bapanya menghantar adik bongsu mangsa ke rumah sepupu bapanya di kawasan berdekatan.

“Pada pagi kejadian bapa arwah terlebih dulu menghantar isteri ke tempat kerja sebelum menghantar anak-anak lain ke sekolah.

“Kemudiannya, bapa arwah menghantar anak bongsu ke rumah sepupu dan sepatutnya selepas itu mangsa dihantar ke rumah nenek, namun bapanya terlupa mangsa tidur di tempat duduk belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata, ibu mangsa yang pulang dari tempat pada jam 3 petang juga tidak mengetahui mangsa tiada di rumahnya neneknya.

Katanya, nenek mangsa juga menyangka bapa mangsa tidak bekerja pada pagi kejadian menyebabkan dia tidak bertanyakan mengenai Aina Batrisha yang tidak datang ke rumahnya.

“Semua tidak menyangka perkara ini berlaku, mungkin ini dugaan buat bagi kami sekeluarga, jadi tolong hentikan segala kecaman terhadap keluarga kami terutama kepada bapa mangsa.

“Kalau tidak tahu cerita sebenar, janganlah membuat andaian sesuka hati ia akan menambah kesedihan hati kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu media melaporkan di mana kanak-kanak perempuan tersebut ditemui meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani.

Kejadian disedari bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu lori ketika ingin pulang ke rumah pada 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia empat tahun dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu hampir 10 jam dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin kereta dimatikan.

“Sebelum itu bapa mangsa berusia 30-an itu menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, Sungai Petani pada 7.30 pagi dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang.

“Bapa mangsa terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang.

“Mangsa sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum lelaki itu ke tempat kerja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adzli berkata, selepas sampai di tempat kerja, bapa mangsa kemudian keluar memandu lori ke beberapa kawasan sebelum pulang semula ke kilang berkenaan pada 4.30 petang.

Katanya, selepas sampai di kilang, bapa mangsa terus masuk ke dalam kilang dan menguruskan kerja di dalam bangunan.

“Ketika ingin pulang, bapa mangsa melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk belakang kereta.

“Lelaki itu terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia,”

Jenazah kanak-kanak itu dijangka akan disolatkan di Masjid Bukit Kecil Simpor Tikam Batu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kecil selepas solat Asar.