Seorang pekerja pembersihan yang bakal mendirikan rumah tangga pada Mac tahun depan didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan cuba merogol dan mencabul rakan serumah tunangnya di Ayer Keroh, minggu lepas.

Menerusi laporan Utusan, tertuduh, Amirul Hanif Ibrahim, 27, yang turut didakwa menceroboh kediaman tersebut mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah cuba merogol seorang perempuan berusia 23 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan niat hendak mencabul kehormatannya dan didakwa mengikut Seksyen 354 kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Amirul Hanif juga berdepan dengan pertuduhan telah melakukan pencerobohan jenayah tanpa mendapat kebenaran daripada tuan rumah yang digunakan sebagai kediaman.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Sekyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 10.53 pagi di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini pada 17 November lalu.

Difahamkan, tertuduh telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan, manakala mangsa merupakan rakan serumah kepada tunangnya.

Kejadian dikatakan berlaku ketika tunangnya tiada di rumah, namun lelaki itu telah memasuki rumah tersebut menggunakan kunci pendua dan menunggu mangsa yang kemudian pulang ke situ.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Soleh Yusof.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 selain syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta tidak menghampiri atau menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 24 Disember ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.