‘Eh, Ali jangan main! kan baju dah kotor. Mama dah pesan tadi, main elok-elok, Nanti kotor-kotor nie gatal ada bakteria tau.’ Ini antara perbualan ibu-ibu jika anak mereka aktif bermain dan mengotorkan baju mereka.

Kebanyakan ibu bapa tidak membenarkan anak- anak mereka bermain diluar dengan alasan baju akan kotor dan anak mereka akan terdedah dengan gatal dan jangkitan kuman.

Benar, sebagai ibu bapa kita berasa cepat rimas atau tidak selesa apabila melihat anak-anak bermain kotor. Ibu bapa akan berfikir susah nanti mahu basuh baju yang comot terkena kotoran ketika anak kecil mereka bermain kotor.

Realitinya, kini kanak-kanak hanya meluangkan sedikit masa diluar rumah berbanding berada didalam rumah. Kanak-kanak sekarang tidak berpeluang meluangkan banyak masa diluar rumah berbanding 20 tahun dahulu ketika kita masih kecil.

Anak Yang Comot Adalah 3 Kali Ganda Lebih Sihat

Para saintis telah membuat kajian dan mendapati bahawa tindakan menghalang anak-anak daripada meneroka dunia luar telah menjadikan anak-anak ini 3 kali ganda lebih cenderung menghidap lelah(asthma), alergi,obesiti dan diabetes.

Ini kerana anak-anak mereka akan kekurangan mikrob yang aktif. Mikrof yang aktif ini penting dalam tubuh badan kerana ia berfungsi untuk melindungi organ dalaman daripada dijangkiti bakteria.

Para saintis telah membuktikan kajian yang dilaporkan oleh The Daily Mail, di mana 41% anak-anak yang aktif dan bebas daripada sebarang penyakit didapati dibesarkan dalam rumah yang terdedah dengan pelbagai jenis bakteria dan alergen.

Walaubagaimanapun, kini ibu bapa menjadi trauma atau fobia untuk mengambil sebarang risiko. Oleh yang demikian ibu bapa berpendapat terdapat 5 tabiat kotor yang selamat untuk dilakukan dan menggalakkan anak-anak mereka mencuba.

5 Aktiviti Kotor Yang Digalakkan Dilakukan Oleh Kanak-Kanak

  • MENEROKA ALAM SEMULAJADI

Semasa anda ke taman rekreasi atau berkelah di tepi pantai, biarkan anak-anak anda menyentuh apa saja yang mereka mahu terokai seperti pasir, rumput dan sebagainya.

Tak kisahlah sama ada mereka mahu melompat dalam lumpur, memanjat pokok, menangkap serangga, atau bermain pasir. Semua aktiviti ini perlu digalakkan dan ia tidak membahayakan.

Biarkan mereka mengenal alam semulajadi dan bermain walaupun kotor kerana ini merupakan masa mereka menerokai alam sekitar dan mengenal perbagai benda baru. Ini juga bagus untuk perkembangan otak mereka.

Walaupun tanah termasuk ke dalam mulut mereka, jangan panik! Sekurang-kurangnya mereka tahu bagaimana rasa tanah itu dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Anak-anak sebenarnya dilahirkan sebagai pencinta alam, lalu tindakan ini turut memberi peluang kepada anak-anak untuk mempraktis kemahiran motor mereka di samping menjadikan mereka lebih banyak berfikir tentang keajaiban ciptaan Tuhan

  • BERMAIN DENGAN HAIWAN

Apabila berjumpa haiwan, latih mereka untuk tidak berasa terancam dengan haiwan dan tanamkan rasa kasih terhadap haiwan tersebut. Latih mereka mengenal haiwan yang ada disekeliling mereka.

Contohnya, anda boleh menyuruh anak anda membantu anda memberi ikan makan di kolam rekreasi atau bermain dengan kucing. Jika anak anda menyukai kucing anda boleh memelihara kucing sebagai haiwan peliharaan dan sebagai kawan bermain bersama.

Aktiviti memelihara haiwan ini dapat melahirkan anak yang mempunyai jiwa yang penyayang, prihatin kepada haiwan dan sifat berkongsi antara satu sama lain.

Ternyata, salah satu kajian terbaru membuktikan tanggapan bahawa haiwan peliharaan dalam rumah menjadikan anak selalu sakit adalah salah. Bahkan, ia menjadikan antibodi bayi dan anak kecil lebih kuat berbanding mereka yang tidak membela haiwan.

Selain itu, Haiwan peliharaan juga dapat memberi kesan yang positif terhadap perkembangan minda anak- anak dan personaliti mereka serta menambah keyakinan diri si kecil anda.

  • MENCIPTA RESEPI

Play dough atau tanah liat antara permainan yang wajib untuk anak-anak anda bermain. Apakata anda ajarkan anak anda bermain menggunakan beberapa makanan yang sebenar. Ia sesuatu yang bagus kerana kita mendedahkan dengan keadaan sebenar penyediaan makanan.

Beri mereka peluang menguli tepung, memecahkan telur ke dalam mangkuk, memukul adunan dan beri mereka peluang membuat biskut cipataan mereka sendiri. Pasti pelbagai bentuk yang menarik dapat dihasilkan oleh mereka hasil imaginasi si kecil ini.

Anda tidak perlu takot, dapur yang berkecah boleh dikemas kembali tetapi pengalaman dan peluang yang anak-anak anda dapat merupakan sesuatu yang tidak ternilai dan membantu perkembangan minda mereka. Pasti kegembiraan dan keterujan jelas di wajah si kecil anda.

  •  MENUMPAHKAN MAKANAN

Ini sesuatu yang penting, beri anak-anak anda peluang untuk menyuap makanan mereka sendiri walaupun mereka akan melakukanya dengan comot. Ia penting kerana mereka boleh belajar untuk mengawal dan memaksimakan deria mereka sejak kecil.

Selain itu, biarkan mereka menggunakan jari-jari kecil mereka untuk merasa pelbagai jenis tekstur makanan walaupun mulut mereka akan comot dan yang paling penting ibu bapa jangan risau dan panik. Ia satu pembelajaran asas untuk si kecil anda.

Apabila mereka sudah pandai memegang, berikan sudu atau garfu plastik yang kecil untuk mereka meneroka apa yang boleh dilakukan oleh alatan tersebut pada makanan. Ini merupakan satu proses pembelajaran yang bagus untuk mereka.

Satu penelitian melalui TODAY.com telah mendapati si kecil yang sering bermain dengan makanan mengetahui lebih banyak jenis makanan dan dapat membezakan makanan mereka berbanding si kecil yang tidak berpeluang bermain dengan makanan.

  • MENCONTENG DAN MELUKIS

Antara yang boleh anda lakukan adalah mengajak anak mewarna pada batu ‘rock painting’, membuat hasil seni daripada daun, ranting kayu, atau apa saja yang mereka suka. Jika di dalam rumah, tampalkan kertas gergasi pada dinding agar pergerakan mereka tidak terbatas semasa melukis.

Jangan hadkan cat dan warna hanya pada kertas. Biarkan mereka bebas untuk melukis dan meneroka imaginasi dengan cara mereka yang tersendiri. Jika takut mereka termakan warna, anda boleh membuat ‘edible paint’ yang selamat untuk dimakan. Mudah saja!

LEBIH COMOT SI KECIL, LEBIH KREATIF SI KECIL ANDA

Ibu bapa perlu memberikan sedikit ruang kebebasan kepada anak-anak bermain kotor dan anda perlu yakin anak anda boleh melakukannya dengan baik. Selepas ini, jangan terlalu fobia dan mengawal anak daripada melakukan tabiat-tabiat ‘kotor’ ini.

Semua aktiviti seperti ini memberikan lebih banyak manfaat untuk proses pembesaran si kecil dan perkembangan otak mereka. Biarkan si kecil dalam memacu kreativiti mereka serta mengasah kemahiran fizikal. Sudah pasti mereka akan berasa lebih seronok dan berkeyakinan.

Ibu bapa tidak perlu terlalu risau anak mereka tidak selamat apabila melakukan aktiviti-aktiviti ini kerana aktiviti ini selamat. Namun, jika anak selalu sakit apabila terdedah kepada aktiviti yang dijalankan, bolehlah anda mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada doktor.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pembesaran si kecil anda dan biarkan si kecil anda meneroka dunia mereka. Selamat mencuba!